Kem Bersepadu

Kemahiran Hidup Bersepadu Tingkatan 3

Perniagaan dan Keusahawanan

tajuk p2 b3

 

Pengenalan

Peningkatan penyelewengan dalam dunia perniagaan telah memberi kesedaran kepada pengguna. Jika dibandingkan dengan masa lalu, pengguna hari ini telah memahami dan mengetahui hak-hak mereka. Masyarakat pengguna hari ini lebih bersifat rasional dan prihatin terhadap hak dan tanggungjawab mereka. Kempen yang dilakukan oleh kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan untuk menyedarkan pengguna juga menyumbang kepada kesedaran pengguna.

Konsumerisme

Konsumerisme adalah satu pergerakan sosial untuk mewujudkan sebuah masyarakat pengguna yang bijak, sedar dan faham tentang hak dan tanggungjawab mereka. Konsumerisme melibatkan tindakan pengguna secara kolektif melalui pertubuhan atau perwakilan untuk membela dan melindungi kepentingan mereka dalam pelbagai aspek kehidupan seperti alam sekitar, hak asasi manusia dan sebagainya.

Pengguna dan Konsumerisme

Pengguna

Pengguna atau consumer bermaksud orang yang menggunakan barang, perkhidmatan dan sumber alam semula jadi.

3.1a                            3.13.1b

Keperluan asas seperti tempat tinggal, makanan dan pakaian

 

Konsumerisme

Konsumerisme atau kepenggunaan bermaksud segala kegiatan yang dilakukan oleh orang ramai untuk menjaga hak dan kepentingan mereka sebagai pengguna.

Hak dan Tanggungjawab Pengguna

Hak Pengguna

Pengguna yang bijak adalah pengguna yang tahu dan menyedari haknya sebagai pengguna serta bertindak dengan bijaksana dan bertanggungjawab. Setiap pengguna perlu tahu haknya dan menjaga hak tersebut agar tidak ditindas oleh pengeluar yang tidak bertanggungjawab. Terdapat lapan hak pengguna yang perlu difahami.

  1. Hak mendapat keperluan asas

Pengguna mempunyai hak untuk mendapat keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal

2. Hak mendapat keselamatan

Pengguna berhak untuk mendapat jaminan bahawa barang dan perkhidmatan yang ditawarkan adalah selamat digunakan dan tidak membahayakan kesihatan pengguna

3. Hak mendapat maklumat

Pengguna berhak untuk mendapat jaminan bahawan barang dan perkhidmatan yang ditawarkan adalah selamat digunakan dan tidak membahayakan kesihatan pengguna

4. Hak membuat pilihan

Pengguna diberi kebebasan untuk memilih dan menentukan barang atau perkhidmatan yang diperlukan berasaskan maklumat yang diperoleh

5. Hak bersuara

Hak bersuara bererti hak untuk menyuarakan pandapat sama ada secara individu atau melalui perwakilan dalam proses menggubal dan melaksanakan polisi kerajaan

6. Hak mendapat pendidikan kepenggunaan

Pengguna perlu diberi panduan untuk mengetahui hak mereka. Pendidikan kepenggunaan juga membolehkan pengguna menjadi lebih rasional dan bijak. Pendidikan pengguna boleh diperoleh melalui bengkel, media massa, pameran atau seminar dan ceramah. Buletin Pengguna merupakan salah satu contoh media massa

7. Hak mendapat ganti rugi

Pengguna mempunyai hak menuntut ganti rugi daripada penjual jika diberi barang dan perkhidmatan yang rosak, busuk, tidak bermutu dan luput tarikh

8. Hak mendapat alam sekitar yang sihat dan selamat

Pengguna berhak hidup dan bekerja dalam suatu alam sekitar yang bersih, berudara nyaman dan bebas daripada sebarang ancaman yang memudaratkan kesihatan serta tidak menggangu ketenangan jiwa

Tanggungjawab Pengguna

Selain mempunyai hak, pengguna juga mempunyai tanggungjawab terhadap diri sendiri dan masyarakat. Tanggungjawab tersebut perlu dilaksanakan untuk mendapat kehidupan yang sejahtera.

1. Tanggungjawab terhadap diri

a)    Membeli secara rasional dan bijak

Pengguna perlu berhati-hati dan membeli secara rasional dan bijak apabila membeli-belah. Mereka perlu menentukan apakah barang yang perlu dibeli terlebih dahulu. Keutamaan perlu diberi kepada barang keperluan. Pengguna juga perlu menentukan masa dan tempat yang sesuai untuk membeli-belah dengan membandingkan harga di pelbagai tempat.

b)    Membuat belanjawan diri

Satu rancangan perbelanjaan perlu dibuat oleh pengguna untuk membuat anggaran pendapatan dan perbelanjaan. Rancangan ini penting untuk mengelakkan pengguna berbelanja melebihi pendapatan dan boleh menyimpan sebahagian daripada pendapatannya serta mengelakkan pengguna membeli barang yang tidak perlu.

c)    Penglibatan dan tindakan

Pengguna bertanggungjawab bertindak tegas bagi memastikan hasil urus niaga yang adil. Pengguna harus melibatkan diri dalam kegiatan sosial yang memelihara kepentingan pengguna dan mengambil tindakan berasaskan penyelidikan serta tindakan sempurna. Pengguna tidak harus menjadi seorang yang pasif dan dieksploitasi oleh pengeluar

d)    Kesedaran mengkritik

Pengguna perlu berwaspada dan mempersoal tentang harga dan kualiti barang serta perkhidmatan yang digunakan. Jika sesuatu barang atau perkhidmatan yang diterima tidak berkualiti, pengguna harus menyuarakan pendapat bagi mendapat barang dan perkhidmatan yang memuaskan

2. Tanggungjawab terhadap masyarakat

Selain menjaga hak dan tanggungjawab terhadap diri, pengguna juga mempunyai tanggungjawab terhadap masyarakat, iaitu;

a)    Bersatu padu dan bekerjasama

Pengguna harus mempunyai kesedaran untuk bersatu padu dan bekerjasama dalam tindakan untuk menuntut keadilan melalui persatuan pengguna. Tindakan yang diambil secara bekerjasama lebih berkesan berbanding secara individu

b)    Tanggungjawab sosial

Pengguna perlu bertanggungjawab untuk menyedari kesan perbuatan atau tingkah laku mereka terhadap masyarakat. Pengguna harus bertindak dengan rasa tanggungjawab dan bertimbang rasa supaya tindak-tanduk mereka tidak menjejaskan golongan lain

c)    Menjaga alam sekitar dab alam semula jadi

Pengguna bertanggungjawab untuk mengetahui kesan persekitaran akibat perbuatan atau tingkah laku mereka. Pengguna harus sedar tanggungjawab individu dan sosial dalam memelihara sumber alam semula jadi dan melindungi muka bumi untuk generasi akan datang

Tujuan dan Kepentingan Menjaga Hak Sebagai Pengguna

1. Menjadi pengguna yang tidak mudah ditipu

Pengguna yang tahu menjaga kepentingan haknya akan sentiasa berhati-hati dalam segala tindakan. Mereka akan membeli barang mengikut keperluan, membuat perbelanjawan dan peka terhadap sesuatu serta tidak mudah tertipu oleh iklan, tawaran istimewa dan sebagainya

2. Tidak berlaku penyelewengan oleh pengeluar

Pengeluar tidak akan mengeluarkan barang tanpa maklumat yang lengkap sekiranya pengguna tahu menjaga haknya. Pengeluar juga akan memastikan mutu, timbangan dan kandungan bahan adalah tepat seperti yang dinyatakan pada lebal

3. Menjadi individu bermaklumat

Pengguna yang bermaklumat mempunyai kebolehan untuk membuat pilihan dengan bijak. Pembaziran dari segi barang dan wang tidak akan berlaku dan pengguna akan memilih barang yang benar-benar bermutu

4. Menjadi ahli masyarakat yang bersatu padu dan berwibawa

Pengguna yang tahu menjaga kepentingan haknya akan menjadi ahli masyarakat yang bertanggungjawab. Mereka bersatu dalam melakukan tindakan untuk kepentingan bersama

Tanggungjawab Pengeluar kepada Pengguna

Dalam mencari keuntungan melalui perniagaan, pengeluar harus prihatin terhadap tanggungjawab mereka kepada pengguna. Pengeluar mempunyai tanggungjawab untuk mewujudkan masyarakat yang prihatin dan harmoni. Antara tanggungjawab pengeluar kepada pengguna ialah:

1. Harga berpatutan

Pengeluar perlu menjual barang dan perkhidmatan dengan harga yang berpatutan dan adil. Harga yang ditawarkan mestilah sepadan dengan kualiti barang dan tidak menaikkan harga barang sesuka hati

2. Kuantiti yang tepat

Pengeluar perlu mempraktikkan amalan perniagaan yang jujur. Kuantiti barang yang dijual mestilah sama dengan kuantiti yang dikehendaki oleh pengguna. Timbangan dan sukatan barangan juga mestilah tepat

3. Produk berkualiti

Pengeluar juga perlu menjual barang yang berkualiti dan sepadan dengan harga yang ditawarkan. Pengeluar dilarang menjual barang tiruan dan berkualiti rendah

4. Selamat digunakan

Pengeluar hendaklah sentiasa berusaha mengeluarkan barang dan perkhidmatan yang selamat dan tidak membahayakan kesihatan pengguna

5. Maklumat yang tepat

Pengeluar hendaklah sentiasa berusaha memberi maklumat yang tepat tentang mengeluarkan barang dan perkhidmatan yang diberikan dan tidak melakukan penipuan

6. Mesra alam

Pengeluar perlu menggunakan cara pengeluaran yang tidak merosakkan alam sekitar. Pengeluar juga perlu mencari penyelesaian terbaik bagi pembuangan sisa, asap dan sampah supaya tidak menjejaskan alam sekitar

Bentuk Penyelewengan yang Sering Dilakukan oleh Pengeluar

Pengguna sering menghadapi penyelewengan yang dilakukan oleh pengeluar seperti:

1. Harga barang yang tidak stabil

Pada musim perayaan perniagaan sering mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang. Harga barangan juga sering dinaikkan oleh pengeluar apabila kerajaan mengumumkan kenaikkan gaji pekerja

2. Kegiatan menyorok barang

Apabila bekalan barang di pasaran berkurangan, harga barang akan meningkat. Keadaan ini akan menggalakkan pengeluar menyorok barang supaya bekalan barang berkurangan dan harga barang akan dinaikkan

3. Barang yang berkualiti rendah

Pengeluar kerap kali menggunakan bahan mentah yang bermutu rendah. terdapat juga di kalangan pengeluar yang menjual barang tiruan dengan harga yang sama dengan harga yang sama dengan harga barangan asli

4. Barangan yang membahayakan pengguna

Terdapat pengeluar yang hanya mementingkan keuntungan tanpa memikirkan keselamatan dan akhlak pengguna. Ada juga pengeluar yang mengeluarkan barang yang boleh mendatangkan kemudaratan terhadap kesihatan pengguna

5. Timbangan dan sukatan yang tidak tepat

Teknik pembungkusan yang menarik dan label makanan yang lengkap sering digunakan sebagai alas an oleh pengeluar untuk mengurangkan sukatan atau kandungannya. Walaupun masa kini kerajaan mewajibkan semua alat timbangan yang khas dan piawai, ada juga pengeluar yang tidak menggunakan alat timbangan tersebut

6. Maklumat yang mengelirukan

Maklumat yang dinyatakan dalam catalog sering menimbulkan kekeliruankepada pengguna. Iklan-iklan yang menampilkan model-model yang cantik juga sering membuat pengguna keliru

Cara Membuat Aduan

Pengguna boleh membuat aduan sekiranya tidak berpuas hati terhadap mutu barang atau perkhidmatan yang telah dibeli

1. Aduan secara terus

a)    Bawa barang dan resit sebagai bukti pembelian ke kedai atau permis peniaga
b)    Berunding dengan penjual atau pengurus kedai
c)    Sekiranya aduan tidak dilayan, buat aduan bertulis kepada penguat kuasa atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

2. Aduan bertulis

a)    Simpan semua maklumat yang berkaitan dengan urusan di dalam fail
b)    Dapatkan bukti tentang masalah yang dihadapi
c)    Kumpulkan data atau statisitk berkaitan aduan
d)    Rujuk undang-undang berkaitan
e)    Buat aduan bertulis dengan ringkas dan jelas serta lampirkan dokumen sokongan
f)     Catatkan mengikut kronologi dan pastikan membuat tindakan susulan

Peranan Persatuan Pengguna dan Kerajaan

Peranan Persatuan Pengguna

Persatuan pengguna ialah sebuah persatuan sukarela yang ditubuhkan bertujuan untuk melindungi hak dan kepentingan pengguna. Pengguna dapat bersatu dan menyelesaikan masalah mereka melalui persatuan pengguna. Antara beberapa persatuan pengguna di Malaysia ialah Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Persatuan Pengguna Selangor (SCA), Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (CANS), Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Pengguna Kedah (CAKE).

Antara peranan persatuan penguna ialah:

1. Menerima dan menyiasat aduan

Persatuan pengguna akan menerima sebarang aduan daripada pengguna. Aduan-aduan tersebut akan disiasat dan persatuan pengguna berusaha untuk menyelesaikannya. Jika penyelesaian tidak dapat dilakukan, persatuan pengguna akan merujuk perkara ini kepada pihak berkuasa yang sewajarnya seperti Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kesihatan, Kememterian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan sebagainya

2. Menyebarkan maklumat

Semua hasil kajian dan penyelidikan yang dijalankan oleh persatuan pengguna akan disiarkan melalui media massa dan majalah persatuan pengguna seperti Utusan Pengguna yang dikeluarkan oelh Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Laporan dan maklumat ini membantu pengguna membuat pilihan yang tepat dan pengguna menjadi lebih peka terhadap pengguna dan konsumerisme

3. Menjalankan kajian dan penyelidikan

Persatuan pengguna akan menjalankan ujian, kajian dan penyelidikan atas barang-barang pengguna, terutamnya barang-barang makanan untuk memastikan keselamatan kualiti dan harga yang bersesuaian. Ujian juga dijalankan terhadap kandungan bahan perwarna, bahan pengawet dan perisa makanan untuk menjaga keselamatan dan kesihatan pengguna. Kajian ke atas harga barang juga dijalankan untuk memastikan sama ada kenaikan harga sesuatu barang itu wajar atau tidak

4. Memberi pendidikan kepenggunaan

Persatuan pengguna berusaha untuk memberi pendidikan, latihan dan kesedaran kepada pengguna melalui aktiviti ceramah, kursus, forum, seminar dan pameran dengan kerjasama daripada agensi kerajaan. Usaha yang dijalankan ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pengguna tentang hak mereka di sisi undang-undang. Konsumerisme juga boleh membentuk kemahiran pengguna membuat keputusan membeli barang dan perkhidmatan

5. Memberi bantuan dan khidmat nasihat

Persatuan pengguna membantu meningkatkan kemahiran pengguna dalam memilih, membeli dan mengguna barangan melalui konsumerisme. Persatuan pengguna juga berusaha melahirkan pengguna yang bijak dan berjimat-cermat semasa berbelanja untuk memenuhi keperluan dan kehendak mereka dengan mengedarkan risalah, menerbitkan majalah pengguna dan mengadakan ceramah konsumerisme

Peranan Kerajaan

Kerajaan juga mempunyai tanggungjawab melindungi hak dan kepentingan pengguna. Usaha kerajaan untuk melindungi pengguna adalah dengan cara berikut:

1.Menggubal undang-undang

    1. Akta Perihal Dagangan 1972 (Pindaan 1982)
    2. Ordinan Menjual Makanan dan Dadah 1952 (Pindaan 1983)
    3. Akta Kawalan Harga 1946 (Pindaan)
    4. Akta Kawalan Bekalan 1961 (Pindaan 1973)
    5. Akta Timbang dan Sukat 1972
    6. Peraturan-peraturan Makanan 1985
    7. Akta Sewa Beli 1967
    8. Akta Elektrik
    9. Akta Label 1980
    10. Akta Mutu Alam Sekitar 1974

2. Menguatkuasakan undang-undang

Kerajaan juga telah menggunakan kementerian dan agensi tertentu untuk menguatkuasakan undang-undang dan akta berkaitan pengguna. Antaranya ialah:

  1. Bahagian penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memastikan akta yang digubal dipatuhi serta mengawal peniaga daripada melakukan penyelewengan
  2. Kementerian Kesihatan bertugas memastikan kebersihan diamalkan di kedai mahupun di tempat pengeluar terutamnya pengeluar makanan. Kementerian juga memastikan ubat-ubatan yang dikeluarkan selamat digunakan dan makanan yang dijual tidak beracun dan berbahaya
  3. Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar berusaha meningkatkan kualiti alam sekitar melalui langkah pencegahan, pengurangan dan pengawalan pencemaran
  4. Institut Piawaian dan Penyelidikan Malaysia (SIRIM) bertanggungjawab memastikan barang yang dikeluarkan adalah berkualiti dan selamat digunakan
  5. Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab mengeluarkan logo “Halal” bagi memastikan barangan makanan dan kosmetik yang dikeluarkan tidak mengandungi bahan yang haram digunakan oleh umat islam

3. Menyelaraskan kepentingan pengguna

Kerajaan telah menubuhkan Majlis Penasihat Perlindungan Pengguna Kebangsaan (MPPPK) pada tahun 1973 untuk memberi nasihat kepada kerajaan tentang kawalan bekalan barang dan harga, mengkaji dan menilai amalan perniagaan, mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah pengguna dan menerbitkan majalah serta risalah yang bertujuan menyebarkan maklumat terkini kepada pengguna. Anggota Majlis Pengguna terdiri daripada wakil kerajaan, persatuan pengeluar, kesatuan pelajar, pertubuhan belia dan orang perseorangan.

Hak Pengguna dalam Peruntukan Undang-undang

Hak pengguna yang terdapat dalam peruntukan undang-undang yang tertentu.

1. Akta Perihal Dagangan 1972 (Pindaan 1982)

Akta ini akan memberi hak kepada pengguna untuk mendapat keterangan yang benar dan tepat berkenaan barang atau perkhidmatan dan harga barang tersebut. Pengguna juga mempunyai hak untuk diberi pengiklanan yang tidak mengelirukan

2. Akta Kawalan Harga 1946 (Pindaan)

Akta ini memberi pengguna hak untuk mendapat harga yang tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan oelh kerajaan bagi barang kawalan. Sekiraya pengguna dikenakan harga yang lebih tinggi daripada harga maksimum yang ditetapkan tanpa disedari, pengguna berhak untuk menuntut kembali harga lebihan yang dikenakan

3. Ordinan Menjual Makanan dan Dadah 1952 (Pindaan 1983)

Hak pengguna dalam ordinan ini ialah untuk membeli barang atau ubatan yang menggunakan bahan kimia yang minimum dalam proses pembuatannya

4. Akta Timbang dan Sukat 1972

Pengguna perlu mengetahui hak mereka dalam akta ini yang berkaitan penggunaan alat timbangan dan sukatan. Mereka berhak menolak penggunaan alat timbangan yang tidak diperakui oleh kerajaan

5. Akta Kawalan Bekalan 1961 (Pindaan 1973)

Akta ini memberi hak kepada pengguna untuk mnedapat bekalan yang mencukupi walaupun pada hari perayaan. Pengguna juga berhak mendapat barang yang mempunyai tanda harga, label, gred, kualiti, berat dan jenis barang untuk memudahkan membuat perbandingan dan pemilihan

6. Peraturan Makanan 1985

Hak pengguna dalam akta ini ialah mendapat maklumat daripada lebal berkaitan tarikh pembuatan, tarikh habis guna, bahan yang digunakan dinyatakan dengan jelas serta sumber makanan berkenaan. Pengguna juga mempunyai hak untuk mendapat barang yang tidak menggunakan bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan

7. Akta Sewa Beli 1967

Pengguna yang membeli barang secara kredit berhak untuk mendaat kadar faedah yang tertentu dan telah ditetapkan oleh kerajaan

8. Akta Elektrik 1973

Keselamatan pengguna berkaitan pengguna alatan elektrik merupakan hak pengguna dalam akta ini. Barang elektrik yang ada di pasaran perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Bekalan Elektrik (JBE) terlebih dahulu

9. Akta Label 1980

Pengguna berhak mendapat maklumat lengkap berkaitan barang daripada label barang berkenaan. Label barang mesti mengandungi lima aspek penting, iaitu:

  1. Maklumat asas seperti jenama, harga, tarikh luput, nama dan alamat pengeluar
  2. Maklumat kandungan bahan atau ramuan
  3. Arahan penggunaan
  4. Amaran dan petunjuk
  5. Label jelas dan mudah dibaca

 10. Akta Mutu Alam Sekitar 1974

Akta ini digubal untuk mengawal pencemaran alam sekitar yang dilakukan oleh orang perseorangan, kilang perusahaan dan seumpamanya. Akta ini melarang sesiapa sahaja membakar sampah sarap atau bahan buangan di kawasan terbuka

Bentuk Perlindungan Pengguna

Pengguna diberi perlindungan daripada penyelewengan oleh peniaga atau pengeluar. Terdapat tiga cara perlindungan pengguna, iaitu:

1. Pendidikan kepenggunaan

Melalui pendidikan pengguna secara formal dan tidak formal, pengguna perlu mempunyai sifat sedar akan hak dan tanggungjawab mereka, bijak memilih, bersikap kritikal terhadap iklan dan sedar akan kewujudan badan yang melindungi kepentingan pengguna. Pendidikan konsumerisme juga diserapkan ke sekolah-sekolah melalui mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu dan Perdagangan

2. Undang-undang

Pengguna juga perlu sedar tentang akta yang digubal oleh kerajaan dan badan-badan kerajaan yang melindungi mereka

3. Persatuan pengguna

Persatuan pengguna wujud hampir di setiap negeri. Persatuan-persatuan ini bergabung sebagai Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Federation Malaysian Consumers Association) atau FOMCA. Matlamat penubuhan persatuan pengguna ialah:

  1. Melindungi hak dan kepentingan pengguna
  2. Persatuan peniaga mengawal dan memastikan ahli-ahlinya tidak menipu pengguna
  3. Persatuan profesional memastikan ahlinya mematuhi etika profesional mereka
  4. Persatuan pengilang memastikan pengeluar mematuhi panduan-panduan tertentu dalam proses pengeluar, penjualan dan pengiklanan
  5. Lembaga Piawaian Pengiklanan mengeluarkan panduan mengiklan supaya tidak mengelirukan pengguna atau memberi penerangan palsu

Penerimaan Masyarakat Terhadap Gerakan Konsumerisme

Masyarakat moden hari ini sentiasa peka terhadap hak mereka sebagai pengguna. Namun begitu, ini tidak bermakna semua pengguna mahu mengambil tindakan terhadap peniaga atau pengeluar apabila mereka berasa tertipu. Terdapat juga segelincir masyarakat yang masih jahil terhadap gerakan konsumerisme. Terdapat pelbagai cara boleh dilakukan untuk menilai penerimaan masyarakat terhadap gerakan konsumerisme. Antaranya ialah:

1. Membuat soal selidik

Soal selidik boleh dibuat untuk mengetahui sama ada masyarakat sedar berkaitan gerakan konsumerisme atau sebaliknya. Borang soal selidik mesti mengandungi maklumat berkaitan konsep utama konsumerisme, hak dan tanggungjawab pengguna, Kod Etika Amalan Perniagaan dan pelebalan barangan

2. Mengadakan ceramah

Ceramah boleh diadakan untuk menilai sama ada masyarakat menerima gerakan konsumerisme atau sebailknya. Bilangan pendengar yang datang dapat dijadikan ukuran sama ada masyarakat mengetahui tentang konsumerisme atau tidak

3. Pameran

Pameran konsumerisme juga boleh diadakan bagi mengetahui sejauh mana masyarakat mengetahui tentang gerakan konsumerisme

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s